Selasa, 29 Mac 2011

Empat Lelaki Senjata Parang Rompak Rumah Anggota Tentera

IPOH, 28 Mac (Bernama) -- Empat lelaki bersenjatakan parang melarikan pelbagai barang bernilai kira-kira RM15,000 dalam satu rompakan di sebuah rumah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kampung Banjar, Gelong Gajah, Sitiawan kira-kira 80 km dari sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohd Jamil Osman berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.10 pagi semasa anggota tentera berumur 34 tahun itu bersama isterinya yang juga seorang anggota TLDM, sedang tidur, apabila mereka dikejutkan empat perompak masing-masing bersenjatakan parang dengan berpakaian ala ninja.
"Anggota tentera itu kemudiannya diikat bersama isteri dan pembantu rumah, manakala dua adik iparnya diselimutkan dengan sehelai kain cadar," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata perompak itu didapati memecah masuk ke dalam rumah dengan mengumpil tingkap salah sebuah bilik, dan menggunakan tong gas untuk memecah masuk ke dalam bilik yang lain.

Menurutnya antara yang dilarikan dalam kejadian itu ialah komputer riba, telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai, yang anggaran nilai semuanya berjumlah sekitar RM15,000.

Mohd Jamil berkata anggota tentera itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Air Tawar di sini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...