Selasa, 29 Mac 2011

Pesalah Tegar Dipenjara 18 Tahun Kerana Miliki Dadah

KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Walaupun telah menghabiskan lebih separuh daripada usianya meringkuk dalam penjara dan dikenakan 16 sebatan namum seorang lelaki tidak pernah serik mengulangi kesalahan membabitkan dadah.

Di Mahkamah Seksyen di sini Isnin, seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dan mengawal dadah jenis heroin, pada 13 Jan lepas.

Abdul Jalal Daud, 56, dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap tuduhan memiliki dan mengawal dadah pada dua kejadian berasingan pada hari yang sama.
Atas pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki heroin seberat 46.32 gram di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di sini, pada pukul 6 petang.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengawal heroin seberat 50.63 gram pada pukul 6.30 petang hari yang sama di hadapan Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada hari kejadian.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Sekyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup dan diwajibkan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Abdul Jalal, yang tidak diwakili peguam, mengemukakan rayuan bertulis meminta agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh merupakan pesalah tegar dan tidak pernah insaf walaupun banyak kali menjalani hukuman penjara.

Mengikut rekod jenayah lampau, tertuduh pernah dikenakan jumlah hukuman penjara 34 tahun atas beberapa kesalahan dadah sebelum ini.

Kali terakhir tertuduh ditahan pada 2001 dan baru sahaja dibebaskan pada tahun lepas. Bagaimanapun, dia ditahan semula pada Januari lepas kerana mengulangi kesalahan yang sama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...