Selasa, 29 Mac 2011

Remaja curi dua tan besi

KULIM - Dua remaja lelaki 20-an ditahan ketika cuba mencuri besi di sebuah bangunan pusat membeli-belah di Bandar Putera kira-kira jam 1 petang, semalam. 

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, beliau mendapat maklumat dari bilik gerakan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan mengarahkan ahli yang berada di sekitar kawasan membuat pemeriksaan. 

Katanya, apabila sampai di bangunan itu, sebuah kereta polis dari unit MPV sudah berada di tempat kejadian. PPKM kemudiannya membuat pemeriksaan dan menemui suspek di tingkat tiga dalam keadaan mencurigakan. 
“Mereka cuba melarikan diri dengan mengunci diri di dalam sebuah bilik. PPKM kemudiannya memaklumkan kepada polis dan meminta mereka menyerah diri. 

“Dari pemeriksaan dibuat, hampir dua tan besi sudah dipotong untuk dijual. Kedua remaja ini bekerja di sebuah kilang di Kulim Hi Tech,” katanya kepada :Sinar Harian. 

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut. 

PPKM turut menemui resit jualan besi berjumlah ribuan ringgit dalam sebuah kereta dimiliki salah seorang suspek yang diletakkan di bahagian tepi bangunan. 

Menurutnya, PPKM percaya suspek sudah lama melakukan perbuatan itu dan menjadikan bangunan kompleks membeli-belah yang ditinggalkan itu sebagai tempat mendapatkan bekalan besi. Ketika pemantauan dibuat, sebuah lori dilihat berlalu pergi tetapi PPKM gagal menjejakinya.

Pada perkembangan lain, Eng Khim meminta kerjasama semua ahli PPKM untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan yang akan diadakan malam ini jam 8 malam di Pejabat PPKM bagi memantapkan pertubuhan itu dalam memerangi masalah jenayah di Kulim
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...