Selasa, 29 Mac 2011

Polis Kedah Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai RM56,000 Dalam Tiga Operasi

ALOR SETAR, 28 Mac (Bernama) -- Polis Kedah menahan empat lelaki termasuk seorang di bawah umur serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM56,000 dalam tiga operasi sejak Jumaat hingga Ahad.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata turut dirampas dalam satu operasi tersebut sepucuk pistol jenis Glock tanpa peluru.

Mengulas kesemua kes terbabit kepada media di sini Isnin, Ahmad berkata operasi pertama membabitkan seorang warga asing berusia 48 tahun yang ditahan di Stesen Bas Shahab Perdana kira-kira pukul 10.35 malam pada Jumaat.

Hasil pemeriksaan ke atas sebuah beg pakaian yang dibawanya, polis menemui 15 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 14.75 kilogram dengan nilai pasaran dianggar RM37,500, katanya.

Ahmad berkata lelaki itu yang mengaku pelajar di sebuah universiti di Bangkok, Thailand kini direman tujuh hari sejak Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam kes kedua, seorang lelaki rakyat tempatan berumur 33 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Seruling, Sungai Petani kira-kira pukul 9.15 pagi semalam selepas polis menjumpai dadah disyaki jenis syabu seberat 24.5 gram bernilai RM8,400.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis turut menjumpai sepucuk pistol jenis Glock semi automatik buatan Austria tanpa peluru yang disembunyikan di dalam sebuah beg pakaian.

"Polis juga menjumpai sebuah kereta jenis Proton Wira yang dilaporkan hilang di Bandar Baru Air Hitam, Pulau Pinang ketika serbuan dibuat," katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Dalam satu lagi operasi, dua lelaki berumur 28 tahun dan 17 tahun ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi semalam ketika kedua-duanya baru keluar dari sebuah kereta di Changlun dekat sini.

"Semasa menjalankan pemeriksaan pada kenderaan tersebut, polis menjumpai sebungkus kertas yang mengandungi 267.24 gram disyaki dadah jenis heroin bernilai RM7,500.

"Turut ditemui 8.72 gram disyaki dadah jenis ganja, 3.47 gram disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1,200 dan 40 biji pil yang bertulis WY disyaki mengandungi bahan jenis dadah serta sebuah penimbang," katanya.

Ahmad berkata kedua-dua lelaki itu disyaki mengedar dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

"Semakan rekod jenayah menunjukkan suspek berumur 28 tahun mempunyai dua rekod lampau iaitu satu kesalahan jenayah dan satu lagi kesalahan dadah manakala suspek di bawah umur sudah tidak bersekolah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...