Selasa, 29 Mac 2011

Lelaki Tikam Anak Selepas Ditegur Kerana Mabuk

SERDANG, 28 Mac (Bernama) -- Seorang operator kilang maut akibat ditikam di bahagian dada oleh bapanya sendiri selepas dia menegur tingkah laku bapanya yang mabuk di Bandar Sungai Mas, Banting, malam Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.30 malam apabila lelaki berumur 20 tahun itu dikatakan menegur bapanya yang berbogel dalam keadaan mabuk di depan rumah mereka sebelum itu.
"Berang dengan teguran itu, bapanya yang berumur 40-an terus mencapai pisau di dapur sebelum bertindak menikamnya di dada, dia mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari Isnin.

Beliau berkata selepas menikam anaknya, suspek yang tidak bekerja melarikan diri sebelum berjaya dikesan di sebuah stesen minyak Petronas Teluk Panglima Garang dekat sini pada kira-kira pukul 11 pagi ini.

Katanya polis menahan suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan kerana membunuh, dan mayat anaknya dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang turut hadir pada persidangan media itu menafikan laporan sebuah portal berita kononnya polis mengepung rumah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali malam tadi.

"Kenapa ada dakwaan kata polis kepong rumah dia? Polis datang hanya untuk serah notis minta dia datang balai polis sekian-sekian tarikh untuk rakam percakapan dia berhubung ceramah tanpa permit yang dihadiri Jumaat lepas. Itu saja," katanya.

Beliau berkata seseorang individu perlu memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 111 iaitu merekod percakapan atau keterangan, dan beliau yang menafikan polis mengepong rumah Azmin berkata ia hanya penyerahan satu notis, dan bukannya waran tangkap.

"Jangan jadikan ia isu pula," tambahnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...