Khamis, 24 Mac 2011

Geng samun pasar mini tumpas

PETALING JAYA – Enam individu termasuk seorang wanita berusia 31 yang terlibat dalam 29 kes samun pasar mini di sekitar Petaling Jaya berjaya diberkas polis. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek pertama berjaya diberkas orang ramai sejam selepas dia menyamun sebuah pasar raya di Bandar Baru Sungai Buloh pada 15 Mac lalu. 

Menurutnya, suspek pertama itu diberkas oleh saksi kejadian yang mengecam wajah suspek ketika sedang minum di sebuah restoran di kawasan sama. 

“Susulan daripada penangkapan itu polis melancarkan gerakan memburu ke semua suspek terlibat dan berjaya menangkap lima lagi suspek di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam. 
Arjunaidi berkata, kesemua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes samun dan pemeriksaan air kencing menunjukkan ke semua mereka positif dadah. 

“Dua daripada suspek yang ditahan berusia 25 dan 30 tahun adalah adik beradik yang masing-masing mempunyai 24 dan empat rekod jenayah,” katanya. 

Polis turut merampas dua parang, dua topi keledar, sehelai jaket serta nombor pendaftaran palsu yang ditemui dalam kereta jenis perodua kelisa dan motosikal jenis Yamaha yang digunakan suspek untuk menyamun. 

“Modus operandi suspek ialah masuk ke dalam pasar mini dengan memakai topi keledar berpenutup muka mengugut menggunakan parang dan melarikan wang tunai yang berada dalam peti simpanan tunai,” katanya kepada Sinar Harian. 

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 /397 kanun keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...