Khamis, 24 Mac 2011

Wanita hamil dipenjara 5 tahun

KAMPUNG RAJA - Seorang wanita hamil empat bulan menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memiliki 1,190 biji dadah jenis Methamphetamine seberat 18.09 gram kira-kira empat tahun lalu. 

Tertuduh, Zamrah Ariffin, 39, dari Tanah Merah, Kelantan kelihatan terkejut dan menangis selepas Majistret Ahmad ‘Adha’ Amer Yasser membacakan hukuman itu. 

Mahkamah memerin-tahkan wanita itu menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan terhadapnya. 

Wanita yang hadir ke mahkamah ditemani suami dan seorang anak lelakinya didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah restoran di Jertih, di sini kira-kira jam 7.45 malam pada 30 Julai 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sekurang-kurangnya tiga kali, tetapi tidak lebih sembilan kali sebatan. 

Sebelum ini, dia dibicarakan atas tuduhan mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Bagaimanapun, pihak pendakwa meminda pertuduhan kepada memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) selepas menerima hasil laporan lengkap kimia. 

Sepanjang perbicaraan itu, seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri. 

Dalam fakta kes menyebut, Zamrah ditahan bersama tiga yang lain termasuk dua kanak-kanak di dalam sebuah kereta di hadapan restoran itu. 

Ketika pemeriksaan badan dilakukan, satu bungkusan terjatuh dari dalam baju kurungnya dan tiba-tiba dia menyepak bungkusan itu dengan kakinya. 

Pemeriksaan pada tiga yang lain tidak menemui sebarang kesalahan, manakala Zamrah berada di tempat dia ditahan kerana didakwa sedang menunggu pelanggannya. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor, Rozaime Ab Rahim sementara Zamrah diwakili peguam bela, Mohd Yusof Yakob
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...