KOTA TINGGI – Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki di Simpang Waha, di sini, semalam dan dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk samun dan dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan enam anggota polis diketuai Inspektor Khairul Anuar Muhammad Radzi membuat rondaan di kampung berkenaan telah melihat sebuah kereta bercermin gelap terbabas di bahagian kiri jalan dengan bahagian :hadapan kenderaan itu tergantung di tebing jalan.
Menurutnya, semasa polis menghampiri dan memperkenalkan diri, pemandu itu cuba mengundurkan kereta dan tindakan itu menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta itu untuk menahan pemandu berkenaan.
“Suspek yang sudah berkeluarga dikenal pasti sebagai seorang penjenayah tegar yang telah melakukan banyak kesalahan dan amat dikehendaki polis. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Polis yang melakukan pemeriksaan di kereta suspek menemui sejumlah besar wang tunai, penimbang digital dan dua peket serbuk dipercayai heroin seberat 1,055 gram yang mempunyai nilai pasaran RM35,000.
Selain itu, polis turut menemui wang sejumlah RM9,409, mata wang Singapura SD78 dan Rp2,100, sebilah pedang samurai bersarung, peralatan pecah rumah dan pelbagai plat kenderaan termasuk pendaftaran Singapura.
Katanya, polis turut mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai dicuri dan sedang mengesan pemilik kenderaan tersebut.
Suspek yang pernah dikenakan sekatan di Slim River, Perak pada tahun 2010, di bawah Seksyen 6(3) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas – LLPK) pada tahun 1985 namun telah melanggar syarat dan melarikan diri selepas tiga bulan di sana.
Osman berkata, suspek yang didapati positif dadah itu telah pulang dan bersembunyi di sekitar daerah ini dan terlibat dalam tiga kes samun, tiga kes mendatangkan kecederaan, satu kes ugutan terhadap satu keluarga dan kegiatan mencuri kereta mewah.
“Suspek juga dipercayai menjalankan kegiatan jenayah tersebut bersama penduduk tempatan dan warga asing dan kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya.