Khamis, 24 Mac 2011

Hanya 1 peratus maklumat

IPOH – Polis Perak hanya memperolehi maklumat 1 peratus berhubung kejadian jenayah walaupun jumlah ahli Rakan Cop di Perak adalah yang tertinggi di Malaysia. 

Ketua Polis Perak, Mohd Shukri Dahalan menggesa ahli Rakan Cop tampil memberi maklumat supaya kes dapat diselesaikan segera. 

Menurutnya, kebanyakan ahli yang mendaftar hanya menghantar aduan berkaitan kepentingan dan keselesaan masing-masing. 
“Sebagai contoh, kesesakan lalu lintas yang berlaku di kala waktu puncak, ahli Rakan Cop akan hantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk minta bantuan polis lancarkan perjalanan mereka. 

“Malangnya, apabila berlaku kes jenayah, ahli kurang beri maklumat malahan seperti tidak endah kejadian di sekeliling mereka,” katanya. 

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perjumpaan dan suai kenal Ketua Polis Perak bersama 120 wakil Persatuan Peniaga-Peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) Perak, baru-baru ini. 

Mohd Shukri berkata, setiap hari pihaknya akan menerima sekurang-kurangnya empat atau lima maklumat daripada ahli Rakan Cop. 

“Purata sebulan kira-kira 1,000 maklumat atau aduan yang diterima namun kebanyakannya berkisar kepada masalah setempat,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata, bagi tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima antara 200 ke 300 kes jenayah di seluruh negeri ini dengan 121 tangkapan membabitkan pesalah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...