KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara, dua hari lepas.
Beliau berkata dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.
"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab rasa berhak untuk menjaga maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika dia (Anwar) terus mengaitkan ini (penayangan video) adalah satu konspirasi, saya akan pertimbang untuk menyaman dia.
"Perkara ini (saman) sedang dikaji peguam saya... ia bukan untuk saya semata-mata tetapi untuk pastikan integriti polis dilindungi. Isu sama ada ia konspirasi atau tidak bukan perkara utama tapi sama ada ia berlaku atau tidak kita akan siasat mengikut peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini Rabu.
Anwar dalam laporan beberapa akhbar dua hari lepas menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks kononnya beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.
Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan penglibatan mereka dalam rakaman berkenaan semalam manakala Anwar membuat laporan polis berhubung penyebaran video tersebut pada hari yang sama.
Hishammuddin berkata jika dakwaan Anwar itu benar, beliau disaran supaya mengemukakan bukti dan membuat laporan polis agar perkara itu dapat disiasat.
"Apa jua anda (Anwar) ingin dakwa, buktikanlah, saya tak sembunyi apa-apa," katanya.
Beliau berkata apa yang didakwa Ketua Pembangkang itu bahawa rakaman video yang melibatkan dirinya sebagai watak utama adalah satu konspirasi dilihat satu cara untuk mengelak daripada kebenaran.