Isnin, 21 Mac 2011

Kes curi getah

LENGGONG – Kenaikan harga getah baru-baru ini, banyak memberi nikmat dan kelegaan kepada masyarakat khasnya penoreh-penoreh getah yang berada dalam daerah kecil Lenggong. 

Namun, terdapat banyak laporan yang diterima oleh Balai Polis Lenggong mengenai kes-kes kecurian yang melibatkan getah buku yang berleluasa berlaku di sekitar kampung dalam daerah ini. 

Justeru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik mengambil pendekatan terbaik dengan mengadakan satu majlis dialog keselamatan khusus mengenai kecurian getah buku di bawah pentadbiran Balai Polis Lenggong yang telah diadakan baru-baru ini. 
:Dialog anjuran IPD Gerik itu mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong melibatkan agensi-agensi lain seperti Lembaga Perlesenan Getah Malaysia Cawangan Hulu Perak, Penguat kuasa Lembaga Getah Malaysia (LGM) Ipoh, Pembeli Getah, Pengerusi JKKK bersama Biro Keselamatan, Ketua Platun RELA Lenggong, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Rukun Tetangga. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik dalam ucapannya menegaskan peranan semua pihak dalam mengatasi masalah itu. 

Beliau berkata, kebanyakan kes yang berlaku adalah melibatkan pelakunya dalam kalangan anak kampung itu sendiri. 

“Peranan ibu bapa dan masyarakat setempat serta pembeli getah adalah sangat penting kerana mereka sebenarnya lebih dekat dan mengetahui serta mengesyaki pelaku kepada gejala tersebut. 

“Selain itu, masalah utama dalam hal ini adalah sikap suka mengaut untung tanpa mengira kerugian dan kesan kepada orang lain,” katanya. 

Wakil Penguat kuasa LGM menjelaskan bahawa cara terbaik adalah semua pembeli getah ini mesti mematuhi segala syarat-syarat yang telah ditetapkan dan sekiranya ianya dipatuhi, masalah seperti ini tidak mungkin akan berlaku. 

Dalam ucapan penutup program tersebut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah meminta kepada semua yang terlibat dapat mempraktikkan apa yang telah di bincangkan dalam majlis dialog tersebut. 

“Saya tahu ada yang mempertikaikan peranan wakil-wakil rakyat dalam menyelesaikan masalah ini, tapi untuk makluman semua, saya sentiasa berhubung dengan pihak polis berkenaan dengan masalah ini. 

“Sebab itulah majlis dialog ini diadakan bagi kita membincangkan cara terbaik menangani segala masalah yang berlaku demi kesejahteraan rakyat di kawasan Lenggong,” katanya. 

Menurutnya, masalah kecurian getah buku ini perlu diatasi dengan segera kerana beliau tidak mahu perkara buruk sepertimana yang berlaku di negeri lain sehingga mengakibatkan kematian akibat dari masalah kecurian getah buku ini. 

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada pihak PDRM IPD Gerik dan agensi-agensi yang terlibat dalam menganjurkan program yang sangat baik dan bermakna ini dan berharap kejadian kecurian getah buku ini tidak akan berlaku lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...