Isnin, 21 Mac 2011

Samun guna senjata tajam

BANDAR BUKIT TINGGI - Sebuah keluarga berdepan igauan ngeri apabila kediaman mereka di pecah masuk sebelum disamun dua lelaki bersenjatakan parang, di sekitar Bandar Parklands, di sini beberapa hari lalu. 

Sumber Polis memaklumkan, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 petang ketika keluarga berkenaan berada dalam rumah teres dua tingkat itu. 

Menurutnya, kedua-dua lelaki dipercayai warga tempatan memasuki kediaman tersebut melalui pintu belakang. 
“Suspek segera menuju ke arah penghuni rumah lalu mengacukan parang sambil mengarah mereka menyerahkan barangan berharga termasuk wang tunai. 

“Mangsa yang khuatir diapa-apakan hanya mengikut arahan suspek yang dipercayai tidak memakai sebarang penutup wajah ataupun topeng muka,” katanya. 

Beliau berkata, suspek segera bertindak mengambil komputer riba dan sejumlah wang tunai sebelum melarikan diri dari kawasan berkenaan. 

“Berikutan kejadian itu, mangsa dipercayai mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM12,000. 

“Difahamkan, mereka segera membuat laporan Polis di Balai Polis Bukit Tinggi sebelum polis bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, polis sedang mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai turut melakukan kegiatan sama di kawasan lain.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...