Isnin, 21 Mac 2011

PDRM gigih didik masyarakat

TRIANG - Masyarakat disaran supaya saling bekerjasama dengan polis bagi mencegah jenayah di kawasan persekitaran mereka. 

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, pelbagai langkah dan kaedah yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merealisasikan hasrat untuk mengurangkan kadar jenayah. 

Menurutnya, masyarakat memainkan peranan penting iaitu memberikan maklumat kepada polis supaya pihak berkuasa itu dapat menjalankan tindakan selanjutnya.: 
“Mendidik masyarakat untuk memerangi jenayah adalah hasrat kami di PDRM ini. Dengan pengedaran risalah yang mengandungi pelbagai maklumat, masyarakat dapat membuat tindakan sendiri yang sewajarnya. 

“Antara risalah yang diedarkan adalah seperti maklumat mengenai jenayah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya yang mendidik masyarakat untuk membuat tindakan seterusnya kepada polis,” katanya kepada Sinar Harian. 

Mohd Zahid berkata, selain pengedaran risalah, polis turut turun padang bertemu penduduk untuk memberikan keterangan mengenai isu semasa dan juga cara pencegahan jenayah yang lebih berkesan. 

Katanya, sebagai contoh melalui program Kepolisan Komuniti (Community Policing) yang turut dapat menjalin hubungan bersama penduduk kampung. 

“Kehadiran kita ke kampung-kampung ini bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk cara mencegah jenayah. Mereka diibaratkan sebagai mata dan telinga polis untuk memaklumkan apa sahaja kegiatan jenayah yang berlaku. Seterusnya tindakan akan diambil oleh kami. 

“Ini kerana penduduk sudah sedia maklum dengan keadaan kawasan persekitaran mereka. Dengan memantau segala aktiviti penduduk di kawasan sendiri, mereka dapat merasakan sesuatu yang tidak kena yang menuntut polis menyiasat,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak aktiviti dapat dijalankan antara polis dan masyarakat bagi mengurangkan kadar jenayah sehingga ke paras minimum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...