Isnin, 21 Mac 2011

Pengusaha Pertukaran Wang Asing Dikesan Jadi Ejen Sindiket Pindah Wang Haram

BACHOK, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Kewangan mendapati 50 ejen pertukaran wang asing tempatan terbabit dalam pemindahan wang haram ke luar negara yang melibatkan sindiket antarabangsa.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata penggubahan wang haram milik sindiket itu dilakukan ejen pertukaran wang terbabit dengan menggunakan kaedah menghantar kiriman wang melalui bank dalam jumlah yang besar bagi mengelak daripada dikenakan cukai.
Katanya sindiket berkenaan dikesan mempunyai pertalian dengan syarikat di luar negara seperti Jepun, Singapura, Britain, Dubai dan Hong Kong dengan ejen berkenaan menggunakan alasan penghantaran wang berkenaan untuk membeli harta dan operasi perniagaan di luar negara.

"Sehingga ini lebih 50 lesen yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pihak terbabit telah ditarik balik selepas didapati mereka melanggar syarat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

"Kerajaan juga membekukan aset dan akaun bank milik mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di pekan Jelawat di sini.

Beliau berkata bagi mencegah kegiatan itu, pihak BNM akan melakukan pemeriksaan terhadap buku penghantaran wang ejen berkenaan selain mengemaskini saluran penghantaran wang ke luar negara.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...