Isnin, 21 Mac 2011

Mati di tingkat bawah pejabat

SEREMBAN – Mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan terbaring oleh seorang kerani di tingkat bawah pejabat bangunan tiga tingkat berhampiran pejabat Utusan Malaysia Biro Negeri Sembilan di Taman AST, dekat sini, semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Sukhbir Singh a/l Amar Singh, 61, dipercayai meninggal dunia kurang daripada 24 jam. 

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada orang ramai melalui telefon mangsa kira-kira jam 9.35 pagi. 

“Sebaik sahaja dimaklumkan, saya terus bergegas ke tempat kejadian bersama ahli keluarga. 
“Sebelum ini, saya memang berhasrat berjumpa mangsa pada pagi ini (semalam),” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan kejadian itu. 

Menurutnya, pihaknya masih menyiasat punca kematian mangsa. 

“Berdasarkan siasatan polis, kami mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. 

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris keluarganya,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...