MELAKA 22 Ogos - Kes rompakan kedai emas di Plaza Melaka Sentral tengah malam semalam dipercayai dilakukan oleh sekurang-kurangnya tiga penjenayah.
Pembekal peti besi, Loh Kok Hau berkata, peti besi seberat satu tan yang menyimpan barang kemas dan wang tunai RM10,000 itu telah dialihkan kedudukannya.
"Peti besi seberat itu hanya mampu dialihkan kedudukannya oleh tiga individu atau lebih," katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di kedai emas itu yang terletak di sebelah Courts Mammoth Plaza Melaka Sentral, di sini hari ini.
Kok Hau berkata, kerja-kerja menebuk lubang pada peti yang diperbuat daripada tiga lapisan besi dan konkrit itu pula memerlukan tempoh sekurang-kurangnya tiga jam untuk dilakukan.
"Jenis peti besi seperti ini kebiasaannya digunakan oleh peniaga emas dan ia sukar untuk dialihkan dan memerlukan tenaga sekurang-kurannya tiga individu," jelasnya.