KUALA LUMPUR – Suasana di Kampung Pasir, Hulu Klang dekat sini bukan sahaja boleh dilabelkan sebagai ‘mini Jakarta’ malah kawasan yang dijajah oleh warga Indonesia itu juga dipercayai menjadi transit buat pendatang asing tanpa izin (PATI) bermukim tanpa rasa takut.
Kampung tersebut kini padat dengan rumah-rumah papan beratap zink yang dijadikan tempat berlindung PATI dan warga Indonesia halal sehingga merimaskan penduduk tempatan yang semakin rasa terasing di bumi sendiri.
Setiap langkah pasti akan bertembung dengan warga asing terutamanya di hujung minggu malah daripada loghat pertuturan, pemakaian dan suasana di kedai-kedai runcit serta di gerai makan berhampiran turut membuatkan penduduk di kawasan itu seolah-olah mereka berada di Indonesia.
Lebih mengejutkan apabila kawasan penempatan tersebut dikatakan menjadi tempat selamat bagi warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.