Jumaat, 24 Ogos 2012

Padah tegur warga asing mabuk


Padah tegur warga asing mabuk
PUCHONG – Hanya kerana menegur tiga warga Myanmar yang jalan terhuyung-hayang disebabkan mabuk, seorang pekerja kilang parah dibelasah 20 rakan warga asing itu tanpa belas kasihan sehingga tengkuk dan tangannya patah di Taman Perindustrian Puchong Utama, lewat malam kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam apabila mangsa, Mohd Nur Mallak, 31, duduk di tepi tangga rumah kedai di Jalan 2/1 itu bersama tiga lagi rakannya.
Rakan mangsa yang turut diserang sehingga terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala, Ramlee Abdullah, 31, berkata, ketika kejadian dia dan rakannya duduk di situ sebelum tiga lelaki warga Myanmar muncul dalam keadaan terhuyung-hayang.
Menurutnya, rakannya menegur warga asing terbabit kerana dia terlanggar tubuh badannya  dan berkelakuan biadap selepas itu.

Katanya, berlaku pertengkaran dan sedikit pergaduhan menyebabkan seorang rakannya cedera di bibir sebelum kejadian terlerai beberapa minit selepas itu.

Ramlee berkata, dia menyangka kejadian berakhir di situ dan tidak terfikir warga Myanmar itu akan memanggil rakannya untuk membalas dendam.

Kata Ramlee, dua jam selepas itu,  dia yang ke tempat parkir motosikal didatangi seorang warga Myanmar yang mengepung dan menahannya.

Lelaki yang bertubuh kurus dan tinggi itu katanya, menepuk tangan sebanyak tiga kali sebelum muncul kira-kira 10 lagi rakannya yang lain.

Katanya, kumpulan lelaki terbabit terus menarik bajunya dan memukulnya menggunakan kayu cota, menyebabkan dia terpaksa melarikan diri ke sebuah restoran berhampiran.

Ramlee berkata, dia berlari sekuat hati meminta tolong dan terus bersembunyi di dalam sebuah restoran kerana dikepung hampir 20 lelaki warga Myanmar selepas itu.

Melihat kejadian kecoh dan kerusi meja dipecahkan, Ramlee berkata pekerja restoran terus menutup pintu kedai yang ketika itu terdapat beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan.

“Dalam keadaan cemas itu, saya tidak perasan seorang rakan bernama  Mohd Nur tertinggal di luar restoran, dia dipukul  dengan batu bata, kayu, besi dan ditetak dengan parang,” katanya rakannya itu kemudian merangkak ke tingkat atas rumah kedai itu untuk menyelamatkan diri.

Kata Ramlee, kumpulan Myanmar itu melarikan diri sebaik melihat kereta peronda polis tiba kira-kira sejam kemudian.

Katanya, dia yang mendapatkan rakannya terkejut melihat mangsa cedera parah dan terus menghubungi ambulan untuk rawatan selanjutnya.

“Tengkuk dan tangannya patah manakala kepalanya retak akibat serangan kumpulan Myanmar itu, saya pula menerima beberapa jahitan di bahagian belakang kepala akibat dipukul dengan kayu.

“Saya akan membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong hari ini (semalam), disebabkan tidak dapat berbuat demikian ketika hari kejadian kerana menahan sakit,” katanya.

Sementara itu seorang saksi kejadian, Salman Mapplati, 22, berkata, dia yang duduk di kawasan tempat letak kereta di bawah rumah kedai terbabit turut menjadi mangsa serangan kumpulan terbabit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...