SEREMBAN – Kurang seminggu kejadian samun sebuah kedai emas di Plaza Melaka Sentral, Melaka, Selasa lalu, sebuah lagi kedai emas menjadi mangsa samun, kali ini berlaku di bandar Seremban pula.
Hanya mengambil masa kurang lima minit, dua penjenayah berjaya melarikan sembilan dulang barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Datuk Bandar Tunggal, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 5.10 petang itu, dua lelaki terbabit yang memakai topi keledar bertutup penuh menyerbu masuk ke dalam kedai berkenaan dan mengarahkan pekerja memasukkan barang kemas pelbagai jenis ke dalam beg.
“Kejadian berlaku terlalu pantas apabila penjenayah terbabit yang menaiki motosikal dengan serta merta meluru masuk ke dalam kedai sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.
“Suspek kemudian mengarahkan tiga pekerja kaunter memasukkan sembilan dulang barang kemas ke dalam beg sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, tidak berlaku sebarang tembakan dan kesemua yang berada di dalam premis tidak dicederakan selepas mengikut arahan suspek demi keselamatan. Kata Kim Fook, ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam premis terbabit dan pemiliknya sedang berkemas untuk menutup premisnya.
“Kedua suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an dan kita percaya mereka menggunakan dua pucuk pistol automatik, namun tidak pasti sama ada ia pistol benar atau palsu.
“Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kerugian masih belum ditaksirkan,” katanya.
Kim Fook berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api dan setakat ini suspek juga belum dikenal pasti.
Menurutnya, kejadian ini antara samun terbesar yang berlaku di bandar ini setakat ini membabitkan kedai barang kemas.