Isnin, 27 Ogos 2012

Suami isteri disamun


Suami isteri disamun
BUKIT BERUANG - Sepasang suami isteri yang nyenyak tidur berdepan detik mencemaskan apabila rumah mereka dipecah masuk tiga penyamun bersenjatakan parang dan pisau pemotong sayur di Taman Bertam Jaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi kelmarin, semua penyamun termasuk seorang wanita,  berjaya melarikan seutas rantai emas dan sebentuk cincin serta wang tunai RM30.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa berusia 47 tahun dan isterinya nyenyak tidur apabila tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi cermin pecah.

"Semua penyamun memasuki rumah terbabit selepas memecahkan tingkap di bahagian pintu belakang rumah mangsa.

"Penjenayah terbabit kemudiannya mengikat mangsa dan isterinya, sebelum mengugut pasangan berkenaan dengan meletakkan parang ke leher mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka merentap rantai dan cincin yang dipakai isteri mangsa, selain mengambil wang dari dompet mangsa.

"Sebelum melarikan diri, mereka memutuskan talian telefon di rumah terbabit.

"Siasatan awal mendapati, semua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah van," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...