KUANTAN - “Macam mana kami hendak berniaga kalau bengkel kami terus jadi sasaran pencuri?” rungut seorang pengusaha bengkel, Abd Aziz Mat Yusoff, 55 apabila bengkelnya yang terletak di Kawasan Perindustrian Taman Seri Mahkota Batu 11, Jalan Gambang dekat sini dipecah masuk pencuri untuk kali keenam, semalam.
Dalam tempoh Januari hingga 11 Februari lalu, dia kerugian kira-kira RM150,000 apabila bengkelnya itu dipecah masuk sebanyak tiga kali menyebabkan segala kelengkapan, peralatan dan alat ganti bernilai antara RM2,000 hingga RM5,000 lesap dikebas pencuri.
Dia juga dalam proses memindah operasi bengkel itu ke premis bersebelahan namun belum sempat mereka berpindah, kejadian pecah masuk itu berulang lagi.
“Segala yang kami lakukan seolah-olah gagal menghalang usaha pencuri untuk terus menjadikan bengkel ini sebagai sasaran.
“Hari ini (semalam) kami mengalami kerugian kira-kira RM15,000 namun jumlah itu dijangka lebih besar memandangkan pemeriksaan sepenuhnya belum dilakukan setakat ini,” katanya.
Dia berkata, antara barang yang dikesan hilang termasuk 12 tong minyak pelincir dan minyak hidrolik, kompresor yang baru dibeli dengan harga kira-kira RM3,000, kotak gear kereta milik pelanggan, bateri dan sebuah tayar traktor.
“Saya sedar kejadian ini setelah diberitahu seorang pengusaha bengkel berhampiran sebaik tiba di sini kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Selepas diperiksa mendapati pintu depan dan belakang terbuka dengan kesan umpilan manakala mangga yang dipasang telah dipotong,” katanya.
Menurutnya, pencuri dipercayai lebih daripada seorang dan mereka menggunakan lori untuk memunggah barang yang dicuri dari bengkel itu.
“Ada kesan tayar kenderaan dalam bengkel dipercayai kenderaan milik pencuri terbabit,” katanya.
Sementara itu, Kamal ketika ditemui berkata, gara-gara perbuatan pencuri, mereka terpaksa menanggung hutang dengan pelanggan dan pembekal.
“Kami juga terpaksa berhutang untuk menggantikan segala peralatan yang hilang sebelum ini dengan harapan bengkel ini dapat terus beroperasi.
“Hutang lama belum berbayar kini kami terpaksa berdepan kesukaran sekali lagi akibat kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu juga dia terpaksa membayar ganti rugi atau mengeluarkan kos yang besar untuk menggantikan komponen kenderaan pelanggan yang hilang.
“Saya sudah tidak tahan untuk meneruskan operasi bengkel di sini malah kebimbangan sama turut dihadapi beberapa pemilik kedai kerana mereka juga pernah mengalami nasib yang sama.
Menurutnya, beberapa laporan polis dibuat sebelum ini namun masalah itu terus berlarutan.
“Penjenayah seolah-olah bebas bertindak kerana mereka berani melakukan perbuatan sama beberapa kali ke atas bengkel kami.
“Saya sendiri tidak pasti jaminan keselamatan di sini kerana kes sama terus berulang sedangkan laporan demi laporan polis dibuat setiap kali kejadian pecah kedai di sini berlaku,” katanya.
Justeru dia meminta pihak polis mengambil tindakan yang lebih berkesan supaya masalah jenayah ini dapat dibendung kerana ia bukan sahaja membabitkan kerugian kepada mereka tetapi kemungkinan akan berlaku jenayah lebih serius.