Isnin, 6 Mei 2013

Cedera dibelasah lima lelaki

Gambar hiasan

Alor Gajah: Dua petugas lelaki sebuah parti politik cedera dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai daripada parti lawan di Rantau Panjang, di sini, kelmarin.
Mangsa berusia 37 dan 20 tahun diserang menggunakan topi keledar, kerusi kayu dan besi pengunci motosikal oleh lima lelaki di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rantau Panjang kira-kira jam 3.45 petang.
Sumber berkata, ketika kejadian lelaki berusia 20 tahun yang berada di dalam bilik PDM berkenaan didatangi lima lelaki yang mengejeknya sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Kumpulan lelaki itu kemudian menyerbu masuk ke dalam bilik dan terus menyerang mangsa menggunakan topi keledar dan mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri terjatuh.
“Mangsa terus dibelasah dan turut diserang menggunakan kerusi selain dipijak kumpulan lelaki terbabit walaupun merayu dilepaskan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, rakan mangsa yang berusia 37 tahun itu sebaik menyedari kejadian datang untuk membantu namun dia turut dilibas menggunakan besi pengunci motosikal menyebabkannya cedera di belakang badan.

Katanya, keadaan menjadi bertambah kecoh dan lima lelaki itu melarikan diri ke arah bilik gerakan sebuah parti terletak kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.
Mangsa kemudian mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Alor Gajah dan membuat laporan polis tidak lama selepas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bertindak atas kejadian itu, dua lelaki ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Dua lelaki terbabit dipercayai penyokong sebuah parti ditahan beberapa jam selepas kejadian manakala kedua-dua mangsa berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...