Isnin, 6 Mei 2013

Mangsa mati dibunuh dengan senjata tajam


Sah mati dibunuh
TUMPAT – Mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di dalam tali air Banggol Beta di Kampung Jal Besar, kelmarin, disahkan mati dibunuh.

Hasil bedah siasat di Hospital Tumpat mendapati, Yusof Mohamad, 41, mati akibat dipukul dengan senjata tajam dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, terdapat kesan luka sepanjang lima sentimeter di bahagian belakang leher mangsa.

Menurutnya, juga terdapat kesan tumbuk dan sepak di bahagian rusuk badan mangsa dan dipercayai mangsa tidak melawan.

“Mangsa mungkin dibunuh di antara jam 2 pagi hingga 3 pagi, dan kes ini bukan bermotifkan samun atau pun pilihan raya,” katanya semalam.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dan gantung sampai mati.

“Usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mayat Yusof ditemui terapung di dalam tali air Banggol Beta di Kampung Jal Besar.

Mangsa dikatakan keluar dari rumahnya pada jam 10 malam untuk ke pos sebuah parti politik dengan menunggang motosikal Yahama Ego.

Bagaimana pun, jam 9 pagi mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung di dalam tali air tersebut, manakala motosikalnya berada di tepi tali air itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...