Isnin, 6 Mei 2013

Rumah AJK MCA dirompak, rugi lebih RM40,000


Keng Yeng
ALOR GAJAH - Seorang ahli jawatankuasa (AJK) MCA cawangan Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru, di sini kerugian lebih RM40,000 selepas rumahnya dimasuki perompak, malam kelmarin.

Kejadian disedari mangsa, Tai Keng Yeng, 57, sebaik pulang ke rumah kira-kira 11 malam yang mendapati bilik utama rumah berkenaan berselerak.

Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana menghadiri makan malam di kedai berdekatan sementara isteri dan anak keduanya ke hospital melawat ibu yang sedang sakit.

"Anak sulung pula keluar atas urusan peribadi kira-kira 9.30 malam sebelum saya pulang dua jam kemudian," katanya.

Keng Yeng berkata, dia terkejut lihat bilik berselerak sebelum menuju ke arah bilik belakang.

"Saya lihat besi tingkap sudah patah dan bengkok selain perompak dipercayai menggunakan satu tong cat untuk meregangkan besi bagi memberi ruang masuk ke dalam bilik sementara tingkap juga sudah terbuka.

"Walkie talkie, lampu suluh dan sebatang besi turut dijumpai di atas meja luar tepi bilik yang dipercayai digunakan penjenayah untuk mengumpil tingkap dan pintu," katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan, sebuah beg di bilik utama yang mengandungi wang tunai RM10,000 hilang selain beberapa bentuk cincin, sebuah IPad, seutas jam tangan dan komputer riba turut lesap.

"Apabila saya memeriksa keliling rumah, saya dapati pintu belakang yang pada mulanya berkunci sudah terbuka.

"Berikutan itu saya membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru," katanya, semalam.

Jurucakap polis berkata, petang sebelum kejadian beberapa penduduk menyedari sebuah kereta BMW berwarna hitam berlegar di sekitar taman sebelum ditemui berhenti di hadapan rumah mangsa pada sebelah malam.

"Ada sebuah kereta berlegar di sekitar taman, namun tiada penduduk mengesyaki apa-apa sebelum kereta yang sama ditemui pada waktu malam namun dengan nombor pendaftaran yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah mengesahkan kejadian membabitkan kerugian lebih RM40,000 di Taman Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru, di sini.

“Tiada penemuan kesan cap jari dan suspek dipercayai menggunakan besi untuk mengumpil besi tingkap untuk masuk ke dalam rumah mangsa.

"Kes disiasat di bawah Sekyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...