Khamis, 5 Mac 2015

Lelaki ditahan miliki senjata paintball tanpa lesen


DESA TEBRAU, 4 Mac: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki dan menjual 96 laras senjata paintball pelbagai jenis tanpa lesen yang sah dalam satu serbuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sukan Paintball marker, airsoft gun, ball bearing gun dan lain-lain alat yang boleh ditafsirkan sebagai senjata tiruan memerlukan lesen untuk dimiliki dan digunakan dengan mematuhi Seksyen 4 Akta Senjata 1960,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, satu kumpulan pengedaran dadah tumpas dengan tertangkapnya tiga lelaki berumur antara 40 hingga 50 tahun.

Operasi dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di kawasan Parit Yusuf turut merampas 5 kilogram ganja bernilai kira-kira RM50,000.

“Lima ketulan mampat dadah ini dipercayai boleh digunakan hampir 10,000 orang dan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripada mereka positif ganja.

“Selain itu, polis turut merampas dan menyita sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM3,950 dipercayai hasil daripada pengedaran dadah yang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan kesemua suspek kini ditahan reman selama 6 hari sehingga 8 Mac ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...