KUALA LUMPUR 4 Mac - Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan mereka bukan menyasarkan satu
agensi penguat kuasa sahaja dalam melaksanakan Op Licin 2.
Ini dibuktikan dengan penahanan 14
individu lagi termasuk anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi
dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana
dipercayai bersubahat dalam kes penyeludupan dan penjualan petrol ke negara
jiran.
Mereka yang ditahan terdiri daripada
lima anggota KPDNKK, tiga pegawai JKDM dan dua Pasukan Gerakan Am (PGA) serta
seorang anggota tugas am Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut ditahan dua pesara tentera dan
seorang bekas pegawai KPDNKK dalam Op Licin 2 di Kedah dan Perak.
Kesemua individu berusia dalam
lingkungan 30-an sehingga 50-an itu ditahan di pejabat KPDNKK Anak Bukit dan
Kubang Pasu di Jitra, Kedah sebelum dibawa ke pejabat SPRM negeri kira-kira
pukul 9.30 pagi sehingga 7 malam.
Utusan Malaysia difahamkan, kesemua
mereka yang masih dan pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin
dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam serta Kota Putra, Durian Burung
terlibat dengan kegiatan penyeludupan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, mereka juga didapati
tidak melakukan prosedur standard operasi (SOP) agensi masing-masing sehingga
menyebabkan urusan jual beli petrol ‘dipermudahkan’ oleh sindiket.
Katanya, terdapat pelbagai cara dikesan
penguat kuasa tersebut bagi mendapatkan habuan masing-masing.
“Ada daripada mereka menerima wang
secara tunai dan ada juga yang menerima wang suapan secara bulanan. Op Licin 2
yang dijalankan oleh SPRM ini akan dibuat secara berterusan sehingga kegiatan
berkenaan dibanteras habis-habisan,” katanya di sini.
Ujarnya, ketiga-ketiga pesara yang
ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai
penguat kuasa pula disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Semalam, seramai 11 orang ditahan agensi
itu, sembilan daripadanya merupakan anggota polis dan dua adalah anggota
Pasukan Gerakan Am (PGA).
Serbuan yang dijalankan sejak Isnin
lalu, menjadikan seramai 36 orang telah ditahan termasuk anggota penguat kuasa
Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).