ALOR GAJAH, 4 Mac: Seorang rakyat
Malaysia dari Durian Tunggal di sini yang dipercayai terlibat dengan kegiatan
kumpulan militan Islamic State (IS), tidak bergaul dengan penduduk setempat di
kawasan itu, kata seorang penduduk di situ.
Seorang
penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Andy berusia 40-an berkata lelaki
terbabit yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik ini juga
dipercayai seorang penagih dadah dan gemar bersosial.
“Seorang
penduduk di sini pernah juga menasihati dia (lelaki itu) kerana perbuatannya
itu (dengan) membawa balik perempuan ke rumah, menagih dadah dan mengganggu
penduduk namun teguran itu tidak diendahkan.
“Malah tidak
beberapa lama selepas itu penduduk berkenaan diserang abang lelaki itu
menjadikan penduduk kawasan ini takut menegurnya lagi,” katanya kepada
pemberita di sini hari ini.
Lelaki itu juga
dipercayai pemilik akaun Facebook dengan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Februari
lepas telah memuat naik satu rakaman video berdurasi 30 saat seorang lelaki
warga Syria disembelih seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip
kerajaan Syria.
Lelaki itu dan
seorang lagi lelaki rakyat Malaysia yang berasal dari Gurun, Kedah dipercayai
terlibat dalam rakaman video terbabit.
Andy yang telah
tujuh tahun tinggal di kawasan itu berkata bapa lelaki itu telah lama meninggal
dunia manakala ibunya yang bekerja sebagai seorang tukang cuci, meninggal dunia
empat tahun lepas akibat penyakit leukemia.
“Sebelum ibu
bapa mereka meninggal, empat beradik itu tinggal serumah di sini selama enam
tahun tetapi bila (ibu bapa) sudah tiada, nampak lelaki itu tinggal sendirian
di rumah itu tetapi saya tidak tahu dia pergi ke Syria atau negara lain.
“Bulan lepas
ada beberapa orang anggota polis datang dan geledah rumah (lelaki) itu kemudian
bawa keluar beberapa barang tetapi saya tidak tahu untuk apa,” katanya.
Beliau mengakui
terkejut apabila mengetahui bahawa lelaki itu dipercayai terlibat dengan kumpulan
militan IS seperti dilaporkan media.