KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis bersama tiga remaja ditahan
selepas menyamun sekumpulan buruh binaan warga Indonesia awal pagi
semalam.
Dalam kejadian pada 4 pagi itu anggota polis yang berpangkat konstabel sokongan, bertindak menjadi pemandu ketika melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah kongsi di Jalan Jakar, Kemaman.
Ketua Jabatan siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan berkata enam
buruh berkenaan sedang tidur di rumah kongsi mereka apabila dikejutkan
dengan kehadiran tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota
polis narkotik.Dalam kejadian pada 4 pagi itu anggota polis yang berpangkat konstabel sokongan, bertindak menjadi pemandu ketika melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah kongsi di Jalan Jakar, Kemaman.
Katanya ketiga-tiga lelaki itu mengarahkan kesemua buruh berkenaan yang berusia antara 20-an hingga 40-an itu bangun, meminta pasport dan salah seorang daripada mereka memakai vest polis sebelum mengarahkan kesemua buruh berkenaan keluar daripada rumah tersebut.
"Selepas mangsa keluar, dua daripada lelaki itu meluru masuk ke salah sebuah bilik di rumah berkenaan dan bertindak merampas beg yang mengandungi wang tunai RM400.
"Kesemua suspek bertindak melarikan diri menggunakan kereta Perodua Viva yang dipandu konstabel itu, namun salah seorang daripada buruh berkenaan sempat melihat nombor pendaftaran kereta itu lantas membuat laporan di Balai Polis Kemaman," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Manoharan berkata bertindak atas laporan yang dibuat pihak polis terus melancarkan operasi dan berjaya menahan tiga remaja yang berusia 18 hingga 20 tahun itu di sebuah restoran di Cukai Utama pada 6.45 petang semalam.
Katanya hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek yang berasal dari Kemaman itu membawa kepada penahanan anggota polis berumur 27 tahun yang bertugas di Balai Polis Cukai, Kemaman ketika berada di kuarters kediamannya.
"Polis juga berjaya merampas kembali sebahagian wang yang disamun serta menemui kereta yang disewa dan ditinggalkan berhampiran sebuah pasar raya di Kemaman," katanya.
Keempat-empat suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun. - Bernama