Gambar hiasan |
KUANTAN 9 Jun - Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun bukan
sahaja dijerut lehernya sehingga pengsan malah nyaris dirogol seorang
suspek yang memecah masuk rumahnya di Kampung Ulu Perting dekat Bentong
malam tadi.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang memakai baju celoreng tanpa
menutup muka turut tergamak mengacukan selaras senapang patah ke arah
mangsa dalam kejadian pukul 11 malam tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Supritendan Mohamad
Mansor Mohd. Nor berkata, semasa kejadian, mangsa menonton televisyen
sendirian di ruang tamu manakala suaminya yang juga berusia 73 tahun
tidur di dalam bilik.
"Suspek kemudian mengacukan selaras senapang patah ke muka wanita itu
dan cuba merogolnya tetapi mangsa merayu agar tidak dirogol.
"Suspek kemudian mengeluarkan tali dan menjerut lehernya sehingga
sesak nafas dan pengsan di atas lantai," katanya ketika dihubungi di
sini hari ini.
Katanya, melihat keadaan mangsa yang pengsan, suspek mengambil satu
baldi air di dapur sebelum menjirus muka mangsa sehingga tersedar.
Tambahnya, suspek kemudian menggeledah rumah untuk mencari barangan berharga lalu melarikan diri.
"Mangsa mengejutkan suaminya selepas itu dan membuat laporan di Balai
Polis Bentong. Kita percaya suspek ialah penyamun sama di Kampung
Kemansur di sini pada 29 Mei lalu yang turut menyebabkan mangsanya
terbunuh akibat ditembak," katanya.
Mohamad Mansor berkata, pihaknya menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan jejak yang ditinggalkan suspek terbabit. Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan jumlah kerugian sebenar masih lagi dalam siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit
diminta menghubungi Balai Polis Bentong di talian 09-2222222 atau balai
polis berhampiran bagi membantu siasatan.