Isnin, 11 Jun 2012

Pemuda mati dipukul

Image Detail
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR 9 Jun - Seorang pemuda mati selepas dipukul oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam satu kejadian berhampiran Bandar Mahkota Cheras, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa R. Parameswaran, 28, diserang oleh sekumpulan lelaki selepas makan malam bersama empat rakannya yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa bersama empat rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta.

"Kereta mereka bagaimanapun tiba-tiba dihalang oleh kenderaan yang dinaiki kumpulan lelaki berkenaan.

"Selepas itu, dua hingga tiga orang daripada kumpulan tersebut kemudian bertindak menarik mangsa dan memukulnya sehingga mengalami cedera parah," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, sejurus selepas kejadian itu mangsa dibawa ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi ini.

Mohd. Adnan memberitahu, polis masih menyiasat punca dan motif kejadian berlaku.

"Latar belakang mangsa yang meninggal dunia juga masih dalam siasatan dan polis turut memanggil beberapa saksi kejadian untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...