| Gambar hiasan | 
TUMPAT 12 Jun - Seorang pekerja kilang maut 
dipercayai akibat ditikam dengan sebilah keris oleh seorang lelaki di 
Kampung Laut, Palekbang dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam, Mohd. Al-Sedenadi Mat 
Rahim, 26, yang cedera parah di dada kanan meninggal dunia ketika dibawa
 ke Hospital Tumpat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, mangsa 
bersama lima rakan termasuk adiknya sebelum itu pergi ke tempat kejadian
 untuk berjumpa dengan suspek kerana didakwa telah menampar saudaranya, 
Zulhilmi Zu.
Suspek kemudian katanya, mendakwa dia bertindak demikian kerana tidak
 berpuas hati dengan tindakan Zulhilmi menunggang motosikal secara laju 
dan berbahaya.
"Berlaku pergelutan antara mereka dan suspek kemudian mengeluarkan 
senjata dipercayai sebilah keris serta menikam dada kanan mangsa.
"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal 
yang ditunggang seorang rakannya. Mangsa pula menunggang motosikalnya 
namun terjatuh kira-kira 10 meter dari tempat kejadian," katanya 
menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Tambah Jalaluddin, adik mangsa kemudian menahan sebuah kenderaan 
pacuan empat roda dan membawa abangnya ke hospital untuk mendapatkan 
rawatan namun Mohd. Al-Sedenadi disahkan meninggal dunia dalam 
perjalanan.
Jalaluddin memberitahu, polis kemudian menyerbu rumah suspek yang berusia 19 tahun itu namun dia sempat melarikan diri.
"Berikutan itu, polis melancarkan 'Ops Tutup' bagi mengesan suspek. 
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh 
dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum sampai mati," katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mat Rahim Junoh, 58, berkata, dia 
dimaklumkan oleh adik mangsa mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.30 
malam.
Mat Rahim memberitahu, Mohd. Al-Sedenadi yang merupakan anak ketiga 
daripada lapan beradik bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur dan 
pulang bercuti sejak dua minggu lalu.