| Gambar hiasan | 
KUALA LUMPUR 12 Jun - Seorang pengusaha kedai 
besi buruk maut akibat ditetak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan 
parang di Taman Wilayah, Jinjang di sini petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.10 petang ketika mangsa yang 
berusia lingkungan 30-an bersama tiga pekerja berada di kedai besi 
miliknya.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, 
dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki yang memakai topeng tiba-tiba 
muncul di depan premis mangsa dengan menaiki empat buah kereta.
"Mangsa yang cuba melarikan diri sejurus selepas itu bagaimanapun 
berjaya ditangkap dan mengalami kecederaan parah apabila kepalanya 
ditetak suspek menggunakan senjata parang," katanya menerusi khidmat 
pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Tambahnya, selepas kesemua suspek melarikan diri, pekerja premis itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Selayang.
Bagaimanapun katanya, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan 
ke hospital berkenaan dan bedah siasat ke atas mangsa dijalankan pada 
hari ini.
Zakaria memberitahu, pekerja mangsa tidak mengalami sebarang 
kecederaan kerana berjaya menyelamatkan diri ketika diserang kumpulan 
lelaki tersebut.
Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan serangan suspek 
bermotifkan dendam atau disebabkan persaingan dalam perniagaan.
"Susulan daripada maklumat yang diterima, polis setakat ini telah 
menahan seorang individu untuk membantu siasatan," katanya sambil 
memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.