| Gambar hiasan | 
RANTAU PANJANG 12 Jun - Batalion 8 Pasukan 
Gerakan Am (PGA) merampas 597 helai pakaian lelaki dianggarkan bernilai 
RM29,850 yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran Hari 
Raya Aidilfitri berhampiran kawasan pangkalan haram Tebu, dekat sini 
petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang itu, sekumpulan anggota dari 
unit tindakan PGA telah dikerah ke tempat kejadian selepas mendapat 
maklumat mengenai aktiviti penyeludupan. 
Pegawai Pemerintahnya, Supritendan Rooslan Radzi berkata, beberapa lelaki dipercayai penyeludup terus melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota berkenaan.
"Hasil pemeriksaan awal anggota kita menemui lima bungkusan yang 
dilonggokkan di kawasan tersebut, tetapi selepas hampir setengah jam 
menunggu pemilik bungkusan tersebut tidak datang untuk menuntut 
bungkusan tersebut. 
"Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 597 helai pakaian lelaki 
dianggarkan bernilai RM29,850 yang dipercayai dibawa masuk dari negara 
jiran untuk pasaran sempena hari raya," katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, seorang lelaki lelaki 
berusia 34 tahun berasal dari Melor, Kota Bharu yang cuba menyeludup 
beras ditahan di pangkalan haram Lubok Gong dekat sini kira-kira pukul 1
 petang semalam. 
Rooslan berkata, lelaki yang memandu kereta jenis Proton Saga itu 
cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguat 
kuasa. 
"Kita terpaksa mengejar kereta suspek sehingga berlaku pergeseran sebelum keretanya terhenti secara tiba-tiba kerana rosak. 
"Hasil pemeriksaan kita menemui 16 guni beras Siam yang setiap 
satunya seberat 25 kilogram dan dianggarkan bernilai RM1,200," ujarnya.
Dalam pada itu, Rooslan berkata, aktiviti penyeludupan bahan api 
petrol dan diesel terus rancak biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk 
membendungnya.
Tambahnya, sepanjang sebulan penugasan PGA di kawasan sempadan, 
pihaknya telah melakukan rampasan 27 kes melibatkan penyeludupan 
sebanyak 6,980 liter petrol bernilai RM13,262 dan diesel 4,030 liter 
bernilai RM7,254.