NIBONG TEBAL 11 Jun - Berang dengan peminjamnya yang gagal melunaskan
 hutang, sekumpulan ah long disyaki bertindak membaling bom buatan 
sendiri di sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Ampat, di sini malam 
tadi.
Kejadian pukul 9.20 malam yang mengakibatkan letupan kuat sehingga 
menggemparkan penduduk di situ, mengakibatkan bumbung rumah teres dua 
tingkat itu mengalami kesan terbakar.
Bagaimanapun insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan ekoran 
rumah tersebut telah dilelong pihak bank dan tiada berpenghuni kerana 
pemiliknya telah diisytiharkan muflis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supritendan Shafien Mamat 
berkata, siasatan mendapati bahan letupan itu diperbuat daripada karbaid
 yang diisi di dalam botol air besi.
"Kita percaya kejadian itu ada kaitan dengan ah long disebabkan 
pemilik rumah telah diisytihar muflis kerana masalah perniagaan. Rumah 
itu juga telah dilelong oleh bank dan dibeli oleh orang lain namun belum
 didiami.
"Siasatan tidak menolak kemungkinan bahan letupan itu digunakan bagi 
menakutkan pemilik rumah asal dan kami masih mengesannya (pemilik 
rumah)," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.
Tambah Shafien, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafien memaklumkan pihaknya masih 
mengesan pihak yang bertanggungjawab membakar kereta milik wartawan 
akhbar berbahasa Cina, Low Hun Thye, 44, pada 23 Mei lalu.
Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, kereta Perodua Kancil milik Hun 
Thye yang diletakkan di hadapan rumahnya di Simpang Ampat di sini 
dibakar oleh individu tidak dikenali.
Jelas Shafien, kejadian itu mungkin berpunca daripada suspek yang 
tersilap sasaran kerana mereka dipercayai menyasarkan jiran Hun Thye 
yang disyaki gagal melunaskan hutang ah long.
"Beberapa suspek datang ke kawasan tersebut dan menyimbah bahan 
pencair serta membaling telur ke rumah lelaki terbabit sebelum bertindak
 membakar kereta Hun Thye yang diletakkan di hadapan rumahnya.
"Siasatan polis menemui kesan cap jari dipercayai milik suspek di 
kawasan kejadian selain satu tin pencair, satu tin susu kosong serta tin
 minuman keras berisi minyak tanah," ujarnya.
Shafien menjelaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 29 B (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.