Khamis, 13 September 2012

Hilang RM2,500 ditipu 'ahli farmasi'


Hilang RM2,500 ditipu 'ahli farmasi'
GEMENCHEH – Lagak seorang lelaki berbaju T berwarna biru tertera tulisan farmasi berjaya mengaburi mata seorang warga emas dan anaknya menyebabkan mereka kerugian sebanyak RM2,500.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, mangsa, Edah Ahmad, 74, dan anaknya, Norziah Abdul Rani, 48, yang menetap di Kampung Tenai Air Gelugor didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil farmasi hospital kerajaan.

Norziah berkata, pada mulanya mereka tidak mempercayai lelaki berkenaan, namun perwatakannya yang seolah-olah kakitangan hospital selain turut berhubung di telefon dengan seseorang dan mengetahui ibunya pernah ditahan di hospital susulan dipatuk ular beberapa tahun lalu menyebabkan mereka mempercayai lelaki berkenaan.

"Malah, dia juga mengatakan mak akak antara 30 nama yang telah disenaraikan dan harus membeli mesin penapis air susulan masalah kesihatan yang mak alami.

"Lelaki itu turut memberi jaminan supaya kami tidak risau kerana selepas pembelian pihak hospital akan membayar RM300 setiap bulan kerana membeli mesin penapis air bernilai RM2,500 itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tenai Air Gelugor, dekat sini semalam.

Menurutnya, setelah bersetuju untuk membeli mesin itu, dua rakan lelaki itu yang berada di dalam kereta jenis Proton Exora turun bagi membantu memasang mesin berkenaan.

"Kami juga dimaklumkan pada minggu hadapan mereka akan datang sekali lagi bagi memasang mesin air panas dan sejuk sebelum mengarahkan saya mengambil bil air lalu sementara ibu diminta mengambil kad pengenalan miliknya.

"Sebaik kami pergi mengambil dokumen yang diminta, kesemua lelaki itu melarikan diri dan kami percaya sudah tertipu serta segera membuat laporan di Balai Polis Gemencheh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes itu kini dalam siasatan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, kita minta orang ramai untuk tidak mempercayai mana-mana individu yang menyatakan mereka wakil dari mana-mana agensi kerajaan atau sebaliknya dan sekiranya berlaku, diharap mangsa dapat meminta dahulu pengenalan diri individu berkenaan," katanya.

Manakala, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zailan Adnan berkata, setakat ini pihaknya tidak pernah melantik atau mengarahkan mana-mana kakitangan di bawah Jabatan Kesihatan mewakili jabatan berkenaan untuk menjual produk.

“Malah, kes ini baru pertama kali berlaku dan kita harap orang awam dapat lebih berhati-hati selepas ini.  "Sememangnya, ada kakitangan kita yang membuat lawatan rumah ke rumah bagi pesakit kronik tetapi menggunakan kenderaan rasmi jabatan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...