Khamis, 13 September 2012

Kereta Zed Zaidi Dicuri Depan Rumah


PETALING JAYA: Pelakon yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi kehilangan kereta kedua kesayangan dipercayai dicuri dalam kejadian di Kondominium Perdana View, Damansara Perdana di sini, petang Selasa.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil,32, berkata, dia menyedari kehilangan kereta itu ketika pulang dari sebuah pusat beli-belah dekat sini bersama isteri, Natalia Mustafa Kamil, 29, dan anak mereka Ryan Ziqry yang baru berusia dua bulan.
“Semasa pulang bersama keluarga, saya mahu melihat kereta kedua saya sebelum masuk ke kondominium dan mendapati ia hilang sedangkan kuncinya berada dalam simpanan isteri saya.
“Ia diletakkan di tempat letak kereta luar kondominium kerana pihak pengurusan kediaman hanya membenarkan sebuah kereta pemilik sahaja boleh diletakkan dalam kawasan tempat tinggal,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.
Zed yang enggan memberitahu jenis kereta itu berkata, ia merupakan kejadian kedua selepas kehilangan sebuah kereta Toyota pada tahun 2007.
Dia turut kecewa kerana alat pengesan yang dipasangnya dalam kereta itu tidak berfungsi selain beranggapan penjenayah berkenaan mempunyai kepakaran dalam mencuri kenderaan.
“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika meletak kenderaan masing-masing agar kejadian seperti ini tidak berlaku,” ujarnya.
Berikutan kejadian itu isterinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Mutiara Damansara di sini, malam Selasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...