Khamis, 13 September 2012

Polis jejak 4 lelaki

Polis jejak empat lelaki
CCTV yang terletak di kedai berhampiran turut merakam pergerakan tiga lelaki keluar dari kedai kosong bersebelahan kedai emas bersama lelaki yang menunggu mereka di lorong

IPOH - Polis giat menjejaki empat lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes rompakan kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput dekat sini, pada 3 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pergerakan keempat-empat lelaki berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di sebuah premis berhampiran kedai emas terbabit.

Menurutnya, melalui hasil rakaman CCTV tersebut, kelihatan seorang lelaki dilihat berlegar-legar di lorong belakang kedai sebelum tiga lelaki lain keluar dari kedai kosong dan membawa beg disyaki hasil rompakan tersebut beberapa minit kemudian.

Katanya, mereka semua dipercayai berusia dalam lingkungan umur antara 25 hingga 30 tahun.

Tambahnya, keempat-empat lelaki itu kemudian bertindak berpecah dan mengambil haluan masing-masing selepas keluar daripada premis berkenaan.

Polis jejak empat lelaki
Salah seorang individu yang dilihat dalam rakaman CCTV yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes rompakan kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput, 3 September lalu.
“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 1 September antara jam 7 petang hingga 2 September jam 8 pagi ketika cuti hari kemerdekaan.

“Kami tidak menolak kemungkinan mereka yang terbabit dalam kes rompakan ini mengetahui selok belok mengenai kedai tersebut memandangkan ia dilakukan dengan sempurna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim.

Dalam kejadian 3 September lalu, sekumpulan perompak bertindak memasuki kedai emas dengan menebuk lubang pada dinding kedai bersebelahan yang dipercayai sudah kosong sejak 12 tahun lalu.

Mereka turut menebuk lubang pada bilik kebal tempat simpanan barangan kemas berkenaan selain memotong kabel alat penggera dan CCTV yang diletakkan di bilik kerani bersebelahan bilik kebal.

Selepas memotong jeriji besi konkrit dan membuat lubang, penjenayah menebuk peti besi dan melarikan barang kemas serta wang yang dianggarkan berjumlah RM500,000.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri menasihati agar pengusaha kedai emas memasang CCTV dan alat penggera di tempat strategik bagi mengelakkan diketahui orang awam.

“Pemasangan CCTV perlu diletakkan di tempat tersembunyi agar ia dapat dirakam jika kes jenayah berlaku.

“Selain itu, saya juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga emas untuk memberi garis panduan dan nasihat bagi meningkatkan keselamatan premis perniagaan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut atau mengenali lelaki yang dipaparkan dalam rakaman CCTVberkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di talian 05-598 2222 atau Pegawai Operasi, Inspektor Mohd Othman di talian 019-254 9135 untuk tindakan lanjut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...