Khamis, 13 September 2012

Kumpulan motosikal rompak RM142,000 di dua stesen minyak

Gambar hiasan

TANJUNG MALIM (Perak): Sekumpulan lelaki bermotosikal merompak RM142,000 ($56,544) dan pelbagai barangan di dua stesen minyak di sini dan Hulu Bernam, Selangor, pada awal pagi Sabtu dan Ahad lalu.
Bagaimanapun, cubaan kumpulan itu merompak sebuah lagi stesen minyak gagal.
Dalam ketiga-tiga kes itu, kumpulan berkenaan menggunakan tukul besi memecahkan pintu kaca stesen-stesen minyak berkenaan.
Menurut sumber, dalam kejadian pertama di stesen minyak di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur di sini sekitar 5 pagi Sabtu lalu, kumpulan itu melarikan RM2,000 daripada kaunter, satu komputer riba dan telefon bimbit milik pekerjanya.

Kira-kira 20 minit kemudian, kumpulan yang sama cuba merompak stesen minyak di Jalan Persekutuan, berdekatan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim.
Bagaimanapun, percubaan mereka itu gagal dan mereka melarikan diri apabila alat penggera berbunyi ketika mereka cuba memecahkan pintu pejabat di stesen minyak tersebut.
Dalam kes ketiga pada awal pagi Ahad lalu, kumpulan lelaki yang sama dipercayai merompak RM140,000 daripada stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Hulu Bernam arah selatan.
Pekerja stesen minyak di Tanjung Malim, Encik G. Devenlee, berkata pada mulanya beliau menyangka kumpulan lelaki yang menaiki enam motosikal itu mahu mengisi minyak dan terkejut apabila seorang daripada mereka menggunakan tukul besi memecahkan pintu kaca.
"Seorang daripada suspek meluru masuk dan memecahkan pintu pejabat, manakala tiga lagi menuju ke arah saya dan mengugut supaya menyerahkan wang dalam laci.
"Saya cuba melarikan diri melalui satu lagi pintu tetapi dihalang seorang suspek yang menunggu di pintu berkenaan. Mereka kemudian melarikan diri bersama wang tunai sebanyak RM2,000, komputer riba dan dua telefon bimbit saya," katanya. - BHM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...