KLANG (Selangor): Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dikesan dijadikan sebagai pusat simpan kereta curi berikutan penemuan lima kereta yang dilaporkan hilang di pekarangan hospital itu, Sabtu lalu.
Ketua Polis Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Mohamad Mat Yusop, berkata polis percaya semua kereta itu dicuri di sekitar Lembah Klang sejak dua minggu lalu.
Katanya, polis turut menemui beberapa peralatan seperti parang, sarung tangan hitam, jaket hitam dan topeng yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk melakukan samun dalam sebuah kereta jenis Proton Waja, yang juga kereta curi.
"Ketika ditemui, semua kereta itu tidak dikunci. Empat daripadanya jenis Proton Waja dan satu lagi Proton Persona.
"Kami percaya semua kereta itu, yang menggunakan nombor pendaftaran palsu, dijadikan kenderaan untuk melakukan kegiatan samun dan jenayah," katanya dalam sidang media di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, Encik Mohamad berkata tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menyiasat mengapa HTAR dijadikan lokasi menyimpan kereta-kereta curi itu.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan, lima suspek, termasuk seorang wanita, berusia antara 31 dengan 43 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kereta mewah.
"Ketika ditahan, polis menemui sebuah kereta Honda Accord yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur. Susulan kejayaan itu, kami memberkas empat lagi ahli kumpulan tersebut selain menemui dua kunci kereta dipercayai jenis Porsche dan Jaguar.
"Dalam serbuan itu, turut dirampas beberapa paket lutsinar berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis Syabu seberat 55.43 gram dianggarkan bernilai RM10,000 ($3,996)," kata beliau. - BHM.