Khamis, 13 September 2012

Terima Ugutan: Chua Tee Buat Laporan Polis


PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Chua Tee Yong membuat laporan polis selepas menerima ugutan berupa sampul surat mengandungi empat keping 'wang kertas orang mati' bersama keratan akhbar berbahasa Cina.
Chua, yang juga Ketua Biro Profesional Muda MCA, berkata keratan akhbar itu antara lain menyentuh cabaran beliau untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penyelesaian hutang membabitkan Syarikat Talam Corporation Bhd (Talam).
"Oleh itu, saya percaya wang kertas orang mati yang setiap satu bernilai 'lapan bilion' itu adalah satu cara ugutan atau amaran kepada saya supaya tidak meneruskan niat untuk berdebat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Putrajaya di sini, Rabu.
Chua turut dimaklumkan oleh penganjur bahawa banyak kain rentang yang dipasang untuk mengajak orang ramai menyaksikan debat berkenaan digunting dan disimbah dengan cat merah.
Beliau bagaimanapun tidak gentar dengan ugutan itu, sebaliknya bersedia meneruskan hasratnya untuk berdebat.
Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut dikatakan menerima dua keping 'wang kertas orang mati', yang setiap satu bernilai 'lapan bilion' -- bersama dengan keratan akhbar yang dihantar kepadanya di dalam satu sampul surat. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...