KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal adalah antara 13 yang ditahan disyaki terlibat dengan sindiket curi, lerai dan jual komponen kereta yang berleluasa di sekitar daerah ini.
Anggota berumur 43 tahun yang sepatutnya bertanggungjawab melindungi undang-undang itu, bagaimanapun dikatakan melakukan jenayah terbabit demi kepenti-ngan diri menjadikan hasil curi terbabit sebagai alat ganti kenderaan untuk dijual kepada pelanggan.
Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa berkata, anggota tersebut yang berasal dari Kelantan dan turut bekerja sebagai mekanik itu telah dihantar ke Subang Jaya bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang sama di sana.
“Anggota polis tersebut ditahan bersama seorang lagi suspek semalam dan buat masa sekarang kita masih menyiasat siapa dalang di sebalik sindiket ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pondok Polis Mengabang Telipot, di sini, semalam.
Serbuan yang dilakukan dalam dua kejadian berasingan dikenal sebagai Ops Lejang Lerai itu melibatkan 13 suspek berumur 30 hingga 40 tahun iaitu 11 daripadanya ditahan di Kuala Terengganu pada 8 Mac lalu dan dua ditahan di Marang, semalam.
Kesemua mereka yang merupakan mekanik dikatakan melakukan sindiket mencuri dan meleraikan kenderaan bagi tujuan menjualnya sebagai alat ganti kepada pelanggan.
Menurut Jamshah, melalui serbuan di bengkel dan rumah perseora-ngan, pihaknya menemui kulit enjin, pintu, peralatan memotong kenderaan dan komponen lain yang disyaki dicuri selain mengesan dua kereta curi daripada 10 yang dirampas pihaknya.
“Kegiatan ini telah dijalankan sejak setahun lalu dan kita dapati modus operandi yang digunakan adalah dengan mencuri kereta lama seperti Proton Israwa, Wira, Wira Aeroback, Proton Saga dan Kelisa,” katanya.
Pihaknya juga berjaya menyelesaikan tujuh kes berikutan penahanan suspek terlibat iaitu lima di daerah ini dan masing-masing satu di Kemaman dan Subang Jaya, bagaimanapun siasatan masih berjalan untuk memastikan sama ada wujud rangkaian dengan negeri lain di luar Terengganu.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motor, Seksyen 411 kanun yang sama kerana menyimpan barang curi dan Seksyen 414 membantu menyembunyikan dan melupuskan barang curi.
Sementara itu, pihaknya turut menjejaki tiga lelaki untuk membantu siasatan kes terbabit iaitu Anuar Awang Hamad, 40, dan anaknya, Mohd Rafizzi Anuar, 21, beralamat di Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering dan Md Yus Sani Md Yusuf di alamat Jalan Pelabuhan Kuaters Perikanan Chendering, di sini.
“Sesiapa yang mendapat maklumat mengenainya boleh menghubungi kami menerusi melalui talian 09-6354724,” katanya.