KUALA TERENGGANU – Seorang bomoh tidak mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Fauzi Anang, 59, meminta kes tersebut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Dalam pertuduhan tersebut, dia dituduh melakukan kesalahan terbabit pada 7 Mac lalu, kira-kira jam 12 tengah malam di rumah bernombor 628, kampung Seberang Tepoh.
Pengamal perubatan tradisional tersebut didakwa melakukan perkara terbabit ke atas Rozita Jusoh, 29.
Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun berserta sebatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Hazeelia Muhammad dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim menetapkan 18 April ini sebagai tarikh sebutan jaminan dan lanti-kan peguam.
Sinar Harian 9 Mac lalu melaporkan gara-gara terlalu percaya dengan kebole-han seorang tok bomoh veteran yang konon mampu memulihkan kembali kasih sayang suami isteri, seorang janda muda dirogol di rumahnya sendiri dalam satu kejadian di kampung Tepoh.
Kejadian bermula apabila tok bomoh dari kampung Wakaf Tengah itu datang ke rumah mangsa kira-kira jam 10 malam kononnya untuk mengubati mangsa yang berhadapan dengan masalah rumah tangga.
Ketika kejadian, difahamkan kesemua ahli keluarga mangsa termasuk kedua-dua ibu bapanya berada di dalam rumah itu tetapi seolah-olah dipukau kerana tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya membiarkan sahaja mangsa bersama tok bomoh berkenaan di dalam bilik berdua-duaan.