SEPANG 17 Mac - Lima agensi penguatkuasaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen bakal memperhebatkan kempen memerangi rasuah yang akan digerakkan secara bersama.
Menerusi kempen tersebut, kelima-lima agensi itu turut melancarkan maskot antirasuah iaitu seekor helang yang dikenali sebagai Ejen Lang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kempen besar-besaran akan diadakan untuk menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga kerajaan dalam membanteras rasuah.
"Antara matlamat kempen ini ialah memastikan rakyat menyedari dan mengingati talian hotlineSPRM iaitu 1-800-88-6000 dan membuat aduan rasuah melalui talian itu.
"Kami juga memberi jaminan bahawa panggilan yang diterima adalah sulit dan keselamatan pemanggilnya adalah dijamin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen antirasuah dan maskot Ejen Lang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Vui Keong menambah, pemilihan Ejen Lang sebagai maskot antirasuah bersesuaian dengan ciri-ciri helang yang mempunyai sifat penglihatan tajam untuk mengesan aktiviti di sekelilingnya.
"Penglihatan tajam helang bermakna ia boleh memantau sebarang kegiatan rasuah.
"Warna hitam dan putih pada badan helang pula menunjukkan tidak wujud zon kelabu dalam usaha membanteras rasuah, kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti," katanya.
Dalam pada itu, Vui Keong berkata, keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat apabila laporan Transparency International Malaysia (TI-M) pada 2010 menunjukkan 48 peratus responden merasakan tindakan yang diambil kerajaan berkesan dalam menentang rasuah.
"Ini adalah satu peningkatan memberangsangkan berbanding 28 peratus pada tahun sebelumnya dan terus berusaha memastikan pencapaian lebih baik pada masa depan," katanya.