SELAYANG – Kehadiran warga Afrika atau gelaran ‘Pak Hitam’ oleh warga tempatan, kini semakin meningkat di Selayang, sehingga menimbulkan rungutan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal berkata, paling membimbangkan penduduk apabila golongan ini berani mengganggu wanita tempatan termasuk isteri orang.
Menurutnya, aduan perbuatan tidak senonoh oleh ‘Pak Hitam’ ini banyak diterima dari penduduk seperti di Taman Prima Selayang dan dua perumahan kondominium sekitarnya.
“Memang ramai warga asing berada di kawasan Selayang dan sekarang ditambah warga Afrika pula. Kita bukan prejudis, tetapi nampaknya kehadiran mereka ini mengundang banyak masalah sosial.
“Kita harap Jabatan Imigresen mengambil langkah terbaik bagi memastikan mereka tinggal secara sah di sini. Kita akan buat perjumpaan dengan polis dan Imigresen mengenai perkara ini,” katanya.
Subahan berkata demikian semasa program bersama penduduk Apartmen Enggang, Bukit Idaman, di sini.
Menurutnya, beliau turut menerima aduan warga asing ini mengusai kemudahan di perumahan penduduk seperti kolam renang dan tempat riadah sehingga warga tempatan terutama wanita takut untuk menggunakan kemudahan sama.
Dalam pada itu, mengulas kebanjiran warga Myanmar dan Bangladesh di kawasan Pasar Borong Selayang lama, beliau mencadangkan supaya pasar terbabit ditutup.
“Tidak perlu lagi pasar borong lama kerana sudah ada pasar borong baru. Mungkin tapak pasar itu boleh digantikan dengan cadangan penduduk supaya terminal stesen transit aliran ringan (LRT) diwujudkan di situ.
“Kita sudah mohon dan ajukan cadangan ini kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Wilayah dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penduduk, Norhidayah Omar, 45, berkata, kesal pernah diganggu warga Afrika ketika dalam lif dan sering kali melihat anak gadis turut diganggu.
Katanya, peralatan di taman permainan kanak-kanak perumahannya menjadi tempat warga asing ini melepak pada waktu petang dan lewat malam.
“Bayangkan dengan saiz badan mereka, sudah tentu boleh merosakkan peralatan permainan di sini,” katanya.
“Ada antara warga Afrika ini melirik mata memerhatikan remaja wanita melintas dan gayanya seperti cuba menggoda.
Seorang lagi penduduk, Mahfuz Kassim, 31, mencadangkan supaya pemilik rumah yang menyewakannya kepada warga asing mendaftar dengan Jabatan Imigresen atau balai polis berhampiran agar memudahkan pihak berkuasa membuat pantauan.
“Tindakan berat perlu dikenakan ke atas pemilik rumah yang menyewakannya kepada warga asing kerana mereka hanya mementingkan keuntungan tanpa mengira siapa,” katanya.
“Pernah berlaku tangkapan kerana isu ‘black money’ di perumahan ini dan isteri orang diganggu warga Afrika di sini pada minggu lepas,” katanya