GEORGETOWN - Pengakuan bersalah seorang pekerja kafe Internet yang dituduh menggunakan atau menyimpan komputer curi bernilai RM3,000 ditolak oleh Mahkamah Majistret semalam.
Zakaria Jusoh, 29, dari Kampung Terusan Linbat, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan mengaku bersalah terhadap tuduhan dengan niat curang menggunakan atau menyimpan harta curi iaitu satu komputer riba jenama Dell dan dua monitor jenama Acer milik Idriss Hassan, 52, di Jalan Rumbia, Bayan Lepas, kira-kira jam 1.10 pagi, 22 Februari lalu.
Pengakuan itu ditolak dan Majistret Noor Aini Yusof menetapkan kes itu disebut semula pada 24 Mac ini bagi tuduhan disemak semula.
Zakaria didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut keterangan kes, pada jam 10 pagi 19 Februari lalu, Idriss yang baru tiba di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin di Jalan Rumbia, Sungai Nibong, Bayan Baru mendapati cermin ‘slide’ pecah bahagian belakang telah pecah.
Mangsa yang merupakan pembantu khas Tze Tzin memeriksa di dalam pejabat itu dan mendapati satu komputer riba jenama Dell dan dua monitor LCD jenama Acer hilang.
Idriss yang mengesyaki pejabat dimasuki pencuri membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong. Hasil siasatan polis, tertuduh ditangkap pada 22 Februari 2011 kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.