Jumaat, 18 Mac 2011

Kapal alatan senjata ditahan

PELABUHAN KLANG 17 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengesahkan polis menahan sebuah kapal dan merampas dua kontena yang memuatkan peralatan membuat senjata pemusnah di Pelabuhan Utara pada 8 Mac lalu.

Menurut Ismail, kedua-dua kontena itu diperiksa oleh sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenainya sebaik sahaja kapal itu transit di Pelabuhan Utara.

Menurut beliau, selagi isi kandungan kontena itu tidak diketahui, pihaknya tidak akan membuat sebarang kenyataan dan meminta tiada pihak membuat spekulasi mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang diketahui oleh polis setakat ini adalah peralatan tersebut berbentuk seperti dandang (boiler) atau mesin pengadun.


“Kedua-dua kontena itu dikatakan dibawa dari China oleh sebuah kapal dagang dan ketika ditahan, ia dalam perjalanan ke Iran.

“Kita telah minta bantuan pihak Interpol untuk mengesahkannya,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Kerajaan Jepun kepada PDRM di Pangkalan Marin Pelabuhan Klang di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini hari ini.

Sebuah akhbar tabloid percuma berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, PDRM telah merampas dua kontena mengandungi peralatan dipercayai digunakan untuk membina senjata pemusnah termasuk peledak nuklear dari sebuah kapal dagang di Pelabuhan Klang kira-kira 10 hari lalu.

Menurut laporan itu, kedua-dua kontena tersebut dirampas selepas didapati membawa peralatan yang disyaki berbahaya.

Ismail berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya peralatan yang berada di dalam kontena tersebut kerana masih menunggu laporan daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

Kata beliau, pihaknya juga masih belum mengenal pasti siapa pemilik kontena tersebut dan pembelinya.

“Yang penting keadaan memang terkawal dan kita juga telah mengambil tindakan dengan menahan kapal tersebut mengikut Akta Perdagangan Strategik,” kata beliau.

Sementara itu, Ismail dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini mengesahkan, PDRM telah menerima satu laporan polis berhubung rampasan barangan terbabit yang dibuat oleh pegawai dari pejabat Pengawal Perdagangan Strategik Malaysia pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, barang-barang itu dirampas dari Kapal Bunga 1 iaitu sebuah kapal kepunyaan syarikat MISC yang telah berlabuh di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada hari sama.

“Barang-barang yang dirampas adalah dua kontena dipercayai mengandungi barang-barang strategik yang memerlukan permit untuk dieksport atau dibawa untuk transit seperti mana kehendak Akta Perdagangan Strategik Akta 2010 (Akta Perdagangan Strategik).

“Siasatan sedang dijalankan oleh PDRM di bawah Seksyen 9(2) Akta Perdagangan Strategik Akta 2010,” katanya.

Ismail juga mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi sudah merekodkan keterangan 34 saksi untuk membantu siasatan.

Hishammuddin pula ketika bercakap di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana menyedari penyeludupan peralatan itu boleh mengancam keselamatan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...