TAMAN INDAH LUKUT – Seorang penduduk di sini, menjadi mangsa kegiatan tidak bertanggungjawab sesetengah individu apabila cermin hadapan keretanya dipecahkan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mok berkata, dia terpaksa menanggung kerugian akibat perbuatan tidak bermoral itu, dengan membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk membaikinya semula.
Menurutnya, dia menyedari kejadian itu sekitar jam 7 pagi ketika mahu memanaskan enjin kereta.
“Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku di taman perumahan ini.
“Sebelum ini sudah ada beberapa rungutan dan aduan daripada jiran tetangga yang mengalami masalah sama,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Mok berkata, dia tidak ada musuh dan mengesyaki ia kegiatan tidak bermoral budak-budak nakal di sini.
Menurutnya, individu itu membaling batu ke arah cermin kenderaannya, namun dia tidak tahu apa motifnya berbuat sedemikian.
“Mereka hanya memecahkan cermin kereta, namun tiada kerosakan lain dan barang-barang dalam kereta juga tidak hilang.
“Objek yang dipercayai digunakan untuk memecahkan cermin juga ditemui di dalam longkang berhampiran,” katanya.
Selepas kejadian itu, Mok membuat laporan di balai polis berhampiran.