Khamis, 10 Mac 2011

Ahli perniagaan hadapi 27 tuduhan ubah wang haram



KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dua tahun lepas, yang membabitkan urus niaga berjumlah RM695,800. 

C Yoganandha Moorthy, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad, Jalan Tembaga SD 5/2A, Bandar Sri Damansara, di sini antara 5 Oktober 2007 hingga 6 November 2007 dan di Hong Leong Bank, Jalan Perak, antara 8 Oktober 2007 hingga 22 Oktober tahun sama.

Mengikut kertas pertuduhan, dia membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM695,800 untuk membayar beberapa vendor melalui cek milik akaun Orient Coating Sdn Bhd.



Hakim S M Komathy Suppiah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 April untuk menyebut semula kes itu. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM350,000 kerana jumlah wang yang terbabit dalam kes itu adalah tinggi. 
Beliau berkata, pendakwaan menawarkan jumlah itu berikutan rekod Yoganandha Moorthy yang sudah empat kali tidak hadir pada perbicaraan kes tipu yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen lain. 

Sementara itu, peguam Haijan Omar dan V.Thiru Kumar yang mewakili tertuduh meminta jumlah jaminan dikurangkan kepada RM100,000 kerana Yoganandha Moorthy merupakan penyara tunggal keluarga yang terdiri daripada isteri, dua anak perempuan serta ibu bapanya. 

Beliau berkata, tertuduh bukan sengaja tidak mahu hadir pada perbicaraan kes berkenaan tetapi anak guamnya sakit dan mempunyai sijil cuti sakit dari Hospital Gleneagles. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...