Khamis, 10 Mac 2011

Pembangkan​g pun tak berterima kasih pada polis - Hishammudd​in

Tindak tanduk pembangkang yang kerap menyalahkan pihak polis walaupun pihak berkuasa itu berjaya membanteras jenayah dan indeks jenayah lain dibidas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau menyelar pembangkang yang bukan sahaja tidak berterima kasih atas kejayaan polis membanteras kegiatan jenayah tetapi kerap melihat tugas dan peranan polis dalam aspek negatif.
“Apa saja kita (polis) buat semua tak kena, kalau ada berkaitan indeks jenayah mereka kaitan dengan isu tahanan, apa saja kita cakap, mereka putar belit,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, Rabu.

Hishammuddin diminta mengulas tindak tanduk sesetengah pihak termasuk pembangkang yang selalu memperlekeh tugas polis walaupun dalam Bidang Kerhasilan Utama Negara (NKRA), PDRM berjaya menurunkan indeks jenayah terutama jenayah jalanan begitu ketara sekasli.
Ditanya sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang mengadakan majlis penerangan kepada pemimpin pembangkang, Hishammuddin berkata, perkara itu boleh dilakukan tetapi tidak bermakna jika mereka terus melihat polis dari sudut negatif.
“Lebih baik kita beri penerangan pada orang kita supaya memahami. Malah, malam ini kita ada makan malam dengan wakil-wakil rakyat BN. Ketua Polis Negara juga akan hadir,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau akan memberi penjelasan kepada wakil rakyat berkenaan berhubung kait isu keselamatan yang lebih meluas termasuk soal ancaman keganasan yang tidak boleh didedahkan khalayak.
Agendadaily difahamkan, ianya ada kaitan dengan tindakan pembangkang ketika berkempen di PRK DUN Merlimau dan Kerdau minggu lalu yang cuba menyamakan kerajaan negara ini dengan Mesir dan Libya sehingga rakyat bangkit memberontak menjatuhkan pemimpin utama negara itu.
Selain itu, isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut akan dijelaskan kerana menurut Naib Presiden UMNO itu, banyak negara turut memikirkan undang-undang pencegahan serupa bagi mengelak ancaman keganasan.
Beliau turut sedih kerana ada pihak tidak melihat usaha-usaha dan kejayaan polis mencegah jenayah secara positif.
“Ada yang tidak ucapkan terima kasih kepada kita yang turut jamin keselamatan mereka. Saya tengok moral anggota polis boleh terjejas kerana bukan mudah untuk turunkan kadar jenayah tetapi bila berjaya ada pihak tidak iktiraf,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama dalam projek rintis bagi membolehkan polis menggunakan kemudahan kem tentera untuk latihan.
Hishammuddin berkata, langkah ini dapat menjimatkan kos berbanding membina pusat latihan baru untuk PDRM.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Pertahanan Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi serta beliau akan mengadakan perbincangan di Kluang hujung bulan ini.-9/3/2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...