KAJANG – Penurunan kadar jenayah sebanyak 22 peratus di Kajang berjaya dicapai bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan pengurangan sebanyak 230 kes.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, penurunan 22 peratus kadar jenayah di kawasan Kajang untuk dua bulan pertama ini berbanding tahun sebelumnya adalah hasil komitmen bersepadu masyarakat setempat bersama polis mencegah jenayah.
“Sebanyak 1,032 kes dicatatkan bagi dua bulan pertama 2010, namun bagi tempoh sama untuk 2011 hanya 802 kes dicatatkan dan ini menunjukkan penurunan kes sebanyak 22 peratus,” katanya ketika mengadakan kunjungan dan pemerhatian di lokasi Ops Payung di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, semalam.
Mengulas mengenai Ops Payung, Azman berkata, sebanyak 40 lokasi Ops Payung diwujudkan di sekitar Kajang bagi memantau keselamatan penduduk.
“Kita telah memilih 40 lokasi sekitar Kajang dengan memberi tumpuan di beberapa lokasi panas dan tumpuan orang ramai. Anggota polis yang bertugas akan meronda di sekitar kawasan berkenaan.
“Selain itu melalui Ops ini, penduduk dapat mengetahui maklumat-maklumat baru dan kaedah pencegahan serta pengawalan jenayah melalui risalah yang diberikan anggota polis bertugas. Melalui kaedah ini masyarakat akan lebih dekat dengan polis dan memupuk semangat saling bekerjasama mencegah jenayah,” katanya.
Azman berkata, Ops yang diadakan juga bertujuan mewujudkan persepsi positif dalam kalan�gan masyarakat terhadap polis selain dapat meningkatkan komuniti kepolisian setempat.
“Pergerakan anggota polis yang ditugaskan dalam Ops itu tidak hanya statik sahaja, tetapi akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bersesuaian dengan masa dan keadaan persekitaran.
“Komitmen masyarakat menyalurkan maklumat mengenai kebarangkalian jenayah yang berlaku di kawasan kejiranan juga amatlah dihargai dalam usaha bersama memerangi jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.